Thursday, February 12, 2009

Pilihan raya kecil serentak

Kemungkinan besar pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, Kedah akan diadakan serentak. Walaubagaimanapun, menurut Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segala keputusan mengadakan pilihanraya di kedua-dua tempat ini akan dibuat setelah meneliti dokumen mengenai kekosongan kerusi tersebut. Kerusi Parlimen Bukit Gantang sudah tentu kosong berikutan penyandangnya Roslan Shahrum telah meninggal dunia akibat sakit jantung. Manakala kekosongan kerusi Bukit Selambau akan diputuskan kemudian setelah semua dokumen mengenai perletakan jawatan oleh V Arumugam dari PKR disahkan.

Aura Gading: Kami sebagai rakyat menerima segala keputusan yang dibuat oleh SPR. Harap-harap segalanya berjalan dengan lancar dan berpihak kepada Kerajaan.

Tuesday, February 3, 2009

TIADA PILIHANRAYA KECIL

Pilihanraya kecil dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang (N59) dan Changkat Jering (N14) tidak akan diadakan selepasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan kedua-dua Adun berkenaan kekal menyandang kerusi masing-masing. Menurut pengerusi SPR, Tan Seri Abdul Aziz Mohd Yusof wujudnya keraguan terhadap surat perletakan jawatan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Mohd Jailu memandangkan kedua-dua Adun tersebut secara sedar menyatakan surat perletakan jawatan itu tidak berkuat kuasa.

Monday, February 2, 2009

Speaker, ADUN bercanggah

Oleh HERMAN HAMIDherman@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Feb. - Belum boleh putuskan ada pilihan raya kecil atau tidak.
Semua aspek terutama dari sudut perundangan mesti diteliti sebelum keputusan sama ada pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering dan Behrang di Perak akan diadakan.
Penelitian mendalam itu, menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof perlu kerana surat-surat yang dihantar oleh Speaker DUN Perak dan dua ADUN yang terlibat kepada SPR hari ini bercanggah.
Katanya, satu mesyuarat khas akan diadakan esok di Putrajaya bagi membincangkan secara terperinci status dua ADUN tersebut yang sehingga kini masih menimbulkan tanda tanya.
''Kita akan teliti secara terperinci dari segi undang-undang dan Perlembagaan Negeri Perak mengenai kedudukan kes tersebut berserta status surat-surat berkenaan, esok.
''Apa yang penting, SPR mahu mengendalikan kes ini secara penuh hati-hati kerana keadaannya rumit apabila ada maklumat berbeza antara Speaker dengan kedua-dua ADUN terbabit,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kedudukan dua kerusi DUN itu menimbulkan tanda tanya sejak petang semalam apabila Speaker DUN Perak, V. Sivakumar mengeluarkan kenyataan media bahawa ADUN Behrang Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu telah menghantar surat perletakkan jawatan.
Bagaimanapun, tidak sampai tiga jam selepas itu, Jamaluddin dan Mohd. Osman menafikan sekeras-kerasnya mereka berbuat demikian.
Pagi ini, Sivakumar menyerahkan surat rasmi memaklumkan kekosongan kerusi DUN Behrang dan DUN Changkat Jering kepada Pengarah SPR Perak, Ahmad Adli Abdullah.
Menurut kedua-dua ADUN berkenaan, surat yang mendakwa mereka meletakkan jawatan itu sebenarnya surat lama tanpa tarikh.
Mereka dan lima lagi ADUN PKR lain menandatangani surat itu pada Mac tahun lalu sebaik sahaja pakatan Pas, DAP dan PKR membentuk kerajaan di negeri Perak.
Sementara itu, Abdul Aziz meminta semua pihak supaya bersabar dan memberikan masa kepada SPR untuk mengkaji secara mendalam kedudukan dua kerusi DUN berkenaan.
Kata beliau, dalam hal ini, SPR tidak boleh terburu-buru membuat keputusan kerana apa yang lebih penting ialah memastikan keputusan yang dibuat kelak mengikuti peruntukan undang-undang.
''Saya tahu di luar sana telah ada macam-macam pandangan diberikan, tetapi biar SPR teliti setiap sudut terutama perundangan, baru kita buat keputusan. Jadi, tunggulah SPR bermesyuarat esok,'' jelasnya.
Sementara itu, ditanya kemungkinan SPR sendiri tidak dapat memutuskan sama ada perlu atau tidak pilihan raya kecil diadakan pada mesyuarat esok sebaliknya memerlukan ia dirujuk kepada mahkamah, Abdul Aziz berkata:
''Wallahualam. Kita tunggu esok,'' ujarnya.
Mengenai isi kandungan surat-surat berkenaan, Abdul Aziz berkata, buat masa ini, beliau masih belum melihatnya, sebaliknya hanya dimaklumkan oleh Pengarah SPR Perak.
''Pejabat SPR Perak yang menerima surat berkenaan. Saya cuma dimaklumkan oleh Pengarahnya, Ahmad Adli Abdullah.
''Tapi, apa pun pada mesyuarat esok, kita akan meneliti secara terperinci isi kandungan surat berkenaan,'' katanya.


Aura Gading: Bersama-samalah kita tunggu keputusan sama ada pilihanraya kecil akan diadakan ataupun tidak.