Adakah cukup dengan hanya lima kali selepas solat jika dibandingkan dengan dosa yang telah dilakukan?

Memohon maaf dan mengakui kesilapan bukanlah sesuatu yang mudah. Mungkin kerana ada yang berasa dirinya tidak salah, jadi tidak perlu minta maaf? Atau perasaan ego serta mahu menjaga maruah diri? Atau mungkin juga kerana malu jikalau kesalahan itu diketahui, jadi lebih baik diam?

Persepsi masyarakat tentang mereka yang meminta maaf selalunya merekalah yang bersalah bukan?

Sekiranya mereka tidak salah, mengapa harus minta maaf? Tanggapan sebegini seolah-olah sudah sebati dalam diri masyarakat kita. Sesiapa yang mengucapkan perkataan maaf, maka orang itulah yang bersalah.

Kognitif masyarakat sebegini harus diubah. Ketahuilah mereka yang memulakan perkataan maaf dengan saudaranya yang lain adalah seorang yang berani dan mulia. Disaat orang lain mungkin akan menganggapnya bersalah, mereka ketepikan segala rasa ego itu dan meminta maaf agar ikatan silaturrahim terus terbina.

“Saya sudah meminta maaf, tetapi dia tidak mahu maafkan saya.” Perkara ini sering kita dengar bukan? Si A sudah meminta maaf kepada si B tetapi si B tidak juga mahu memaafkannya.

Penulis faham memang sukar untuk kita memaafkan seseorang yang telah menyakiti hati ini. Tetapi ketahuilah dengan memaafkan hati pasti menjadi tenang. Bahkan, orang yang pemaaf adalah orang yang paling mulia.

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Musa bin Imran as pernah berkata, “Wahai Tuhanku, siapakah orang yang paling mulia pada pandanganMu? Allah swt menjawab: Barangsiapa yang memberi maaf meskipun dia memiliki kemampuan untuk membalas dendam.”(HR Baihaqi)

 Dari Muaz R.A meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa menelan kemarahannya sedangkan dia berkuasa untuk membalas kemarahannya itu, maka pada hari kiamat kelak ALLAH akan memanggilnya di hadapan seluruh makhluk dan dia diberi peluang untuk memilih bidadari mana sahaja yang dia sukai.”(HR Abu Daud).


Islam mendidik umatnya untuk bersikap pemaaf. Salah satu sifat ALLAH ialah Maha Pengampun. Saban hari ada sahaja dosa yang kita lakukan, tetapi selagi nyawa tidak di kerongkong, ALLAH masih membuka pintu taubat kepada hambanya. Kasih sayang ALLAH tidak ternilai, Dia tetap memberi kita nafas hingga ke hari ini untuk kita bertaubat.

 Sesungguhnya ALLAH itu Maha Pengampun kepada hamba-NYA yang tidak jemu memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan, sama ada nyata mahupun tersembunyi. Firman ALLAH SWT di dalam al-Quran:
“Dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani,”

 Surah al-Nisa’, ayat 25

 Tetapi itu kalau dosa dengan ALLAH, bagaimana pula dosa sesama manusia? ALLAH itu sifatnya Maha Mengetahui setiap apa yang ada dalam hati kita tetapi bukan manusia. Manusia tidak akan tahu apa yang saudaranya fikir selagi dia tidak memberitahu. Jadi kita haruslah berani mengakui kesilapan dan meminta maaf, buang semua rasa ego dan malu.

 Jangan jadikan amalan meminta maaf suatu amalan yang bermusim sahaja. Seringkali kita lihat amalan meminta maaf ini hanya dipraktikkan ketika musim perayaan yang hanya setahun sekali. Bagaimana jika kita ditakdirkan tidak sempat untuk meraikan raya pada tahun seterusnya? Bagaimana dengan dosa yang telah dilakukan?

 Amalan meminta maaf harus diaplikasikan tidak kira bila, dimana dan dengan siapa. Hakikatnya, amalan meminta maaf tidak tertumpu kepada golongan tertentu sahaja.  Tidak semestinya mereka yang berpangkat tinggi, akan terlepas dari melakukan kesilapan. Kita semua manusia biasa yang tidak pernah lari dari membuat kesilapan. Manusia tidak sempurna melainkan ALLAH SWT.


Malah, ibu bapa juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan kepada anak-anak, maka amat wajar bagi ibu bapa untuk meminta maaf. Apatah lagi jika sebaliknya. Tanam sifat mudah berasa bersalah terhadap apa sahaja yang belaku meskipun ianya adalah perkara remeh-temeh.


Dikisahkan tentang Rasulullah SAW ketika selepas pembebasan kota Makkah. Baginda telah menunjukkan sifat sabar dan pemaaf di hadapan orang-orang yang memusuhinya. Rasulullah SAW berkata: “Wahai orang Quraisy, menurut pendapat kamu sekalian apakah yang akan aku lakukan terhadapmu sekarang?” Jawab mereka: “Yang baik-baik. Saudara kami yang pemurah. Sepupu kami yang pemurah.” Mendengar jawapan itu Nabi kemudian berkata: “Pergilah kamu semua, sekarang kamu sudah bebas.”


Selagi kita tidak maafkan orang tersebut, selagi itulah fikiran akan dipenuhi dengan hasad dengki, dendam dan juga segala aura negatif. Percayalah dengan memaafkan, seolah-olah satu beban telah terangkat dari bahu dan hidup akan terasa bebas dan ringan. Maafkan. Maafkan. Maafkan mereka. Mereka mungkin tidak tahu, tidak sedar dan jahil pada saat itu. Tetapi tidak mengapa. Maafkan mereka dan berdoalah supaya mereka berubah menjadi yang lebih baik di masa akan datang.


“Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya.” (Hadis Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)

Menurut buku Forgive for Good (Memaafkan demi kebaikan), Dr Frederic Luskin ada menyatakan setiap manusia di dunia ini pasti mempunyai kesalahan tetapi hanya yang berani sahaja mahu mengakui kesalahannya. Setiap manusia di dunia pasti pernah disakiti hatinya dan hanya yang berjiwa kesatria yang mampu menjadi pemaaf.


Nurul Nadya binti Roslaili, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media - Kewartawanan (UiTM Shah Alam)


Aura Gading: Betul orang kata untuk mengucapkan maaf itu amat sukar....adakah kerana keegoan seseorang? ada juga yang tidak suka meminta maaf kerana menganggap hanya dirinya sahaja yang betul (pada pendangannya saja).....tapi Aura Gading ingin mengingatkan diri sendiri dan orang ramai bahawa dengan meminta maaf tidak akan merugikan sesiapa malahan dapat memperbaiki masalah yang timbul.